Pesawat MAS Hilang: Pasangan Berbulan Madu Antara Yang Hilang

Pasangan Norli Akmal Hamid dan Muhd. Razahan Zamani antara penumpang pesawat Malaysia Airlines yang masih gagal dikesan lokasinya setakat ini, dikatakan telah lama merancang berbulan madu kali kedua di China. Norli, 33, dan Muhd. Razahan, yang belum mempunyai anak itu melangsungkan perkahwinan pada 6 Oktober 2012 dan mengimpikan percutian berkenaan setelah Norli mengalami keguguran.

 

Adik Norli, Mohd. Lokman, 31, memberitahu, kakak dan abang iparnya yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur telah lama merancang bercuti di Beijing.

Pasangan itu adalah antara 227 penumpang termasuk dua bayi selain 12 anak kapal dalam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilapor hilang di perairan Laut China Selatan pada pukul 2.40 pagi tadi.

Kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu berkata, percutian itu boleh diibaratkan sebagai bulan madu yang dirancang selepas kakaknya mengalami keguguran sebelum ini.

Menurut Mohd. Lokman, dia mengetahui berita kehilangan itu melalui status yang dimuat naik salah seorang rakannya di Facebook awal pagi tadi sebelum memutuskan untuk menghubungi syarikat penerbangan untuk perkembangan lanjut.

“Masa saya menghubungi pada awalnya, syarikat penerangan belum dapat sahkan status tersebut (kehilangan pesawat MH370).

“Bila sudah terima pengesahan, hati saya rasa tak menentu dan saya cuba telefon mak dan adik-beradik lain yang menetap di Kuala Lumpur. Kini, saya cuma mampu doakan mereka berdua serta penumpang lain berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Kata Mohd. Lokman, spekulasi yang didengarnya melalui internet, televisyen dan media lain menimbulkan pelbagai perasaan yang sangat meresahkan.

“Ada yang kata dah mendarat di Naning (China), ada kata sebab masalah GPS (sistem penentu kedudukan global), jatuh di laut dan macam-macam lagi. Apa pun, saya harap semuanya dalam keadaan selamat,” ujarnya.

 

Sumber : Sinar Harian dan Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold