Empat Beradik di Sweden Berjaya Pulang Ke Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati apabila keputusannya yang mahukan empat anak pasangan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden dibawa pulang ke tanah air segera, membuahkan kejayaan.

Beliau berkata, keputusan menghantar Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin tanpa publisiti adalah langkah terbaik dan selepas perbincangan, kerajaan Sweden memberi pertimbangan khas bagi membolehkan anak pasangan terbabit dibawa pulang.

“Tujuan utama tindakan saya ialah mahu mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terbabit supaya mereka tidak diganggu perasaan emosi dan psikologi. Buat masa sekarang, keadaan empat anak pasangan terbabit perlu dijaga.

Ucap terima kasih

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sweden kerana pertimbangan khas terbabit. Difahamkan tindakan sedemikian sebelum ini, amat sukar diperoleh, namun hubungan baik di antara kedua-dua negara dan atas semangat Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang ditandatangani pada 17 Februari 1995, mereka bersetuju,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa selama sejam menerima kunjungan empat anak pasangan terbabit di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, semalam.

Kanak-kanak terbabit iaitu Aisyah Azizul Raheem, 14; Ammar, 12; Adam, 11, dan Arif, 7, yang dalam keadaan lesu selepas menempuh perjalanan 16 jam dari Stockholm ditemani Hamzah tiba di kediaman Perdana Menteri pada jam 1 tengah hari.
Sebelum ini, kisah bapa kanak-kanak itu, pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin dan ibu mereka, Shalwati Norshal, guru yang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, mendapat liputan meluas apabila ditahan sejak 18 Disember lalu kerana didakwa memukul tangan seorang anak mereka atas alasan tidak bersolat.

Mengulas lanjut, Najib berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit bersetuju anak dibawa pulang ke tanah air dan dijaga saudara mereka di Kelantan.

“Kita (Kerajaan Malaysia) akan uruskan agar semua kanak-kanak terbabit dapat dijaga bapa dan ibu saudara mereka di Kelantan, di samping Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berterusan.

Terlepas daripada tekanan

“Apa yang penting sekarang ialah mereka terlepas daripada tekanan kerana kalau masih di Sweden, sudah pasti mereka mengalami suasana yang menekan perasaan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan berusaha membantu ibu bapa mereka dalam mempertahankan kes terbabit berdasarkan prinsip undang-undang dan kaedah tertentu.

Sementara itu, Rosmah berkata, beliau bimbang dengan kebajikan kanak-kanak terbabit hingga bersedia untuk mengadap Raja dan Permaisuri Sweden bagi membolehkan empat beradik itu dibawa pulang segera.

“Saya sering terfikir, bagaimana mahu membawa pulang kanak-kanak terbabit, sehingga saya sendiri mahu terbang ke sana (Sweden) untuk menghadap bagi mendapatkan bantuan Raja dan Permaisuri Sweden. Alhamdulillah, belum sempat saya ke sana, Hamzah berjaya bawa mereka balik,” katanya.

 

sumber : Berita Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Empat Beradik di Sweden Berjaya Pulang Ke Malaysia”

  1. nura says:

    Syukur anak2 ni dah balik ke malaysia. Terima kasih kepada PM dan timbalan menteri luar Datuk Hamzah yang telah berusaha kearah ni. Juga kepada isteri PM yang sungguh perihatin kepada keselamatan dan kesejahteraan anak2 ni. Kerajaan malaysia di bawah pimpinan YB Datuk Najib Razak sah menunjukkan sebuah kerajaan yang sentiasa ambil berat terhadap rakyat malaysia yang ditimpa masalah dimane saja mereka berada di pelusuk dunia. Salam 1 Malaysia.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold