Kisah Perkahwinan Campur Ibu Bapa Emma Maembong

Kisah perkahwinan campur ibu bapa artis terkenal Emma Maembong ini diceritakan oleh kakak Emma, Yaya , dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia tahun 2001.

Gadis manis kelahiran Pantai Timur, Kuala Terengganu ini, agak optimis kala diminta pandangannya tentang isu perkahwinan campur kalangan masyarakat hari ini. Baginya, ia bukan perkara baru. Sambil mencontohkan dirinya yang berbapakan seorang lelaki Melayu, manakala ibunya wanita Inggeris, dia memahami keadaan ini.

“Seperti ibu, ia bukan sesuatu yang mudah untuknya menyesuaikan diri di tengah-tengah kelompok masyarakat Melayu.

“Apatah lagi masyarakat dahulu masih belum benar-benar menerima hakikat perkahwinan campur ini,” kata Rabbiati Adawiyah Ismail, penghias Anggun Bergaya kali ini.

Pengalaman ibunya, Yatimah Zainab yang boleh menyesuaikan diri di tengah-tengah keluarga bapanya pada awal perkahwinan mereka, diakui cukup mengagumkan.

Ibunya ketika itu terpaksa tinggal bersama-sama keluarga bapanya di Kuala Terengganu.

“Bagi generasi kami, halangan-halangan ini sudah semakin berkurangan berbanding zaman ibu,” katanya yang mesra dengan panggilan Yati.

Menyambung bicara, dia mengakui, fenomena itu dianggap sudah menjadi kecenderungan masa kini, ramai anak muda memilih pasangan hidup atas dasar suka sama suka.

Lebih daripada itu katanya, jurang perbezaan yang ketara dari segi agama keturunan dan bangsa sudah lama ditolak tepi.

Asal hati dipaut suka dan pasangan yang dicintai sanggup berhijrah pegangan agama, malah kahwin campur bukan lagi menjadi isu hangat diperkatakan.

Dia sendiri tidak menafikan keinginan sesetengah mereka mendapatkan anak yang bijak dan berwajah menarik menjadi faktor utama kenapa mereka memilih untuk berkahwin campur.

Bagaimanapun anak kedua daripada sebelas beradik ini menambah, bagi yang beragama Islam masalah akan timbul andai pasangan yang dikahwini tidak mendalami agama sepenuh hati.

“Jika wujud masalah ini maka rumah tangga yang harmoni dan aman tidak akan mampu dilahirkan.

“Pada saya, soal akidah dan keimanan cukup penting agar masalah lain tidak timbul,” katanya yang kini mengusahakan sebuah butik di ibu negara.

Sambungnya lagi, walaupun sudah memeluk agama Islam tetapi jika tidak mempunyai penghayatan yang sempurna ia boleh menimbulkan masalah kepada anak-anak mereka kelak.

Berkongsi cerita yang sedikit peribadi, dengan gadis berusia hampir 25 tahun ini, dia mengakui, biarlah jodohnya nanti lelaki Melayu.

“Mungkin saya sendiri lahir dan dibesarkan di sini, membuatkan hati dan perasaan saya lebih ke arah budaya dan cara hidup masyarakat Melayu,” ujarnya ikhlas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold