Cerita Saksi Kemalangan Ngeri Bas Terhumban ke dalam Gaung

Mangsa kemalangan bas di Genting Highlands memberitahu kisah ngeri mengenai pemandu bas Lim Kok Ho (gambar) yang marah, seolah-olah tidak stabil dalam tindakannya  sejurus sebelum tragedi yang mengorbankan banyak nyawa pada pukul 2.20 petang Rabu.

“Ia seperti dia sengaja mahu membunuh kami. Dia tidak usaha membelok ke arah laluan kecemasan sebelum tiba ke kawasan di mana bas terjunam ke dalam gaung,” kata Tan Ming Shing.

Tan Min Shing, 26, mendakwa pemandu itu yang turut terbunuh dalam kemalangan itu, mempercepatkan kelajuan ketika menuruni cerun walaupun dia tahu brek gagal berfungsi.

“Beberapa minit minit sebelum bas terjunam ke dalam gaung, bas hampir melanggar tiang.

“Beberapa ratus meter selepas itu, pemandu membuat belok secara tiba-tiba dan menyebabkan sebuah Honda City hampir melanggar kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur.

Tan, seorang pekerja dapur di Genting, berkata kedua-dua pemandu itu memberhentikan kenderaan mereka dan mula menjerit dan menunjukkan isyarat marah kepada antara satu sama lain sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.

Tan mendakwa bahawa pemandu ada menyebut sesuatu mengenai brek yang tidak berfungsi, tetapi tidak membenarkan sesiapa untuk keluar dari bas.

“Dia (pemandu) kemudiannya secara tiba-tiba membelok lagi, dan ramai antara kami yang menjerit ketakutan. Dan bas terjunam ke dalam gaung.”

“Apabila bas terjunam ke dalam gaung, penumpang lain menjerit, menangis dan ada yang berdoa.

“Saya pasti bahawa saya akan mati. Saya duduk di barisan belakang bas tetapi saya tercampak dan ‘terbang’ tepat ke hadapan. Jika tidak kerana pokok-pokok besar yang ada, bas itu akan terjunam lebih jauh lagi,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian bas hampir melanggar tiang tokong berhampiran dan pemandu berkata bas mengalami masalah brek.

“Ketika mengundurkan bas, ia hampir melanggar sebuah kereta Honda City tetapi pemandu tidak benarkan penumpang turun. Pemandu Honda City itu memarahi pemandu bas tersebut.

“Pemandu beritahu supaya kami menunggu bas seterusnya untuk mengambil kami,” katanya.

Jelasnya, pemandu tersebut menganggap nyawa penumpang seperti ‘mainan’ dan berdegil dengan terus memandu turun dengan kelajuan 80km hingga 100 km sejam sebelum melanggar pembahagi jalan dan kemudian terjunam ke dalam gaung.

“Semuanya berlaku amat cepat, dalam masa tiga saat sahaja. Nasib baik ada dua pokok, kalau tidak mayat pun tidak ada,”

 

Di Hospital Selayang, Kanada Rwaanok Arefin yang berusia 14 tahun berkata, pemandu memandu dalam keadaan marah selepas bersemuka dengan pemandu Honda City.

“Beberapa penumpang memarahi dia dan meminta dia untuk memperlahankan pemanduan.

“Ini menimbulkan kemarahan lagi kepada itu membuatkan dia memandu dengan lebih laju. Dia kemudiannya hilang kawalan dan bas terjunam ke dalam gaung,” kata Rwaanok yang bercuti bersama keluarga di Malaysia buat kali pertama.

Bapa Rwaanok, 55, Rafiq Ali Buhyia, meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Ibunya Buhyia Rashidah, 50, dan adik Rezyan Arefin, 24, terselamat.

Bagaimanapun, Rezyan dalam keadaan kritikal.

Pemandu bas bertengkar

Seorang lagi penumpang yang terselamat, Nur Syamimi Ja’afar, 25, turut meluahkan mengenai perkara yang sama.

“Saya melihat pemandu bas memberi isyarat marah kepada pemandu Honda City,” katanya.

Selepas itu, pemandu bas kendengaran merungut marah dan Nur Syamimi berkata, pemandu itu memandu lebih laju.

Nur Syamimi bersama adiknya, Nur Fathiah, 21, di dalam bas ketika kemalangan berlaku.

Nur Syamimi patah lengan dalam kemalangan itu.

“Mayat-mayat yang ditemui berlumuran darah dan ramai yang menjerit kesakitan. Saya ada terdengar seorang lelaki menjerit meminta pertolongan di luar bas. Dia mungkin tercampak keluar tetapi saya tidak dapat membantunya. Saya tidak dapat menggerakkan tangan kiri saya.”

Nur Syamimi, dari Terengganu, berkata bas itu sememangnya sarat dengan penumpang, kira-kira tujuh orang berdiri di dalam bas sebelum nahas berlaku.

Bas dipandu laju dan melanggar beberapa buah kereta

Bas yang meragut 37 nyawa di Genting Highlands semalam beberapa minit sebelum kemalangan maut itu hampir terbabit dalam satu kemalangan kecil beberapa ketika sejurus tiba di tempat kejadian sebelum terjunam ke dalam gaung.

Nor Maizatul Syazana Ahmad Sharuddin, 23, mangsa yang duduk di belakang kerusi pemandu terbabit memberitahu Utusan Malaysia, sebaik sahaja turun dari stesen bas Genting kira-kira pukul 2 petang, bas berkenaan yang berada di laluan sebelah kanan cuba masuk ke laluan kiri tetapi nyaris berselisih dengan sebuah kereta yang mahu ke tokong berhampiran di sebelah kanan jalan.

“Pemandu bas bagaimanapun sempat brek. Kalau tidak dari awal lagi terjunam ke gaung lebih dalam lagi. Kemudian berlaku pertengkaran antara mereka. Selepas itu, bas teruskan perjalanan. Tiga minit kemudian pemandu bas itu berhenti. Waktu hidupkan enjin, terdengar bunyi ‘krek’, mungkin bas ada masalah.

“Perjalanan kemudian diteruskan tetapi kali ini bas bergerak laju, habis kereta di depan dia langgar…dalam dua tiga kereta, pemandu itu nampak macam kelam-kabut cuba kawal ke kiri dan kanan. Waktu itulah penumpang yang lain menjerit-jerit ketakutan sebelum bas terhumban dalam gaung,” katanya.

Nor Maizatul, kerani di sebuah syarikat swasta di Batu Caves patah kaki dengan luka di dahi dan berdekatan mata ditemui di Hospital Sungai Buloh dekat sini.

Menurut Nor Maizatul, dia yang naik ke Genting Highlands bersama seorang rakan untuk ke Theme Park sebelum itu hairan kerana semasa di stesen lagi, bas berkenaan mengambil lebih muatan, kira-kira 10 orang lagi.

“Ada yang berdiri dan ada juga yang duduk di tangga bas,” katanya.

Nor Maizatul berkata, selepas bas terhumban dalam gaung, dia tersedar bas berkenaan berada di depannya dan dilihatnya ‘ada beberapa mangsa bertindan-tindan’.

“Saya tercampak ke luar dalam keadaan meniarap dan tidak dapat bergerak. Seingat saya, dekat saya ada seorang lelaki berasal dari Kelantan manakala rakan saya tadi tercampak ke bahagian bawah gaung lagi.

“Lelaki itu sempat menenangkan saya dan meminta menjaga diri. Lebih kurang sejam saya menunggu dan hanya ingat mati sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penumpang yang terselamat mendakwa pemandu bas itu mengabaikan keselamatan apabila masih memandu kenderaan itu walaupun mengetahui berlaku kerosakan brek.

Tan Ming Shing, 26, mendakwa, sebelum kemalangan itu, bas berkenaan memotong sebuah kereta jenis Honda dalam keadaan berbahaya menyebabkan pemandunya berang.

Menurut Ming Shing, pemandu bas dan kereta Honda terbabit masing-masing berhenti di tepi jalan dan bertengkar.

“Saya dengar pemandu kereta Honda itu bertanya kenapa memandu bas dalam keadaan berbahaya.

“Pemandu bas kemudian memaklumkan kenderaannya mengalami masalah brek dan selepas itu kedua-dua mereka meneruskan perjalanan,”

Ming Shing  mendakwa, dia hairan kenapa pemandu bas itu mengambil risiko meneruskan perjalanan walaupun tahu kenderaannya mengalami masalah brek.

 

sumber :Utusan Malaysia dan Mstar Online

 

Cerita Staff Muda Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hazwan Abdul Ghani yang bertugas menyelamatkan mangsa kemalangan

Hazwan merupakan individu pertama turun dengan tali bagi menyelamatkan mangsa dengan dibantu seorang rakan selepas diarahkan ke tempat kejadian pada 2.30 petang.

Dalam perjalanan ke lokasi, Hazwan membayangkan kemalangan itu hanya membabitkan bas terbalik sama seperti kemalangan dua tahun lepas namun sangkaannya jauh tersasar sebaik melihat bas itu di dalam gaung sedalam 60 meter.

“Apabila meninjau ke bawah, saya tergamam seketika kerana hanya terlihat badan bas yang tersangkut di sebuah bongkah batu besar…Sebelum terlihat mangsa, saya dapat melihat satu mayat tersangkut antara batu dalam keadaan ngeri.

“Lebih sayu apabila melihat keadaan pemandu bas yang kakinya masih tersangkut di pedal kerana tersepit manakala badannya patah dua seperti huruf ‘L’ manakala kepalanya penuh darah,” katanya.

Memikirkan pemandu bas tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan, Hazwan bergegas ke arah remaja Bangladesh yang dalam keadaan trauma dan ketika itu, beliau ternampak seorang wanita berusia 20-an yang juga cedera namun kelihatan tenang.

“Dia macam faham dan meminta saya menyelamatkan remaja berkenaan dahulu dan saya berjanji akan menyelamatkannya selepas itu,” katanya.

Selepas itu, beliau terdengar suara lelaki sayup-sayup meminta tolong yang kemudian ditemui di dalam bas di bawah timbunan tiga mayat.

Operasi menyelamat mangsa yang masih hidup tamat pada pukul 7 malam bagi memberi laluan operasi mencari mayat.

Meskipun sudah empat tahun menjadi anggota penyelamat JPAM, nahas semalam merupakan antara yang terburuk pernah dilihat dan meninggalkan kesan kepada diri Hazwan.

“Sebelum ini, saya dan rakan ada berbual, sudah lama tidak terlibat dengan tragedi besar sejak dua tahun lepas, namun tidak sangka pula tragedi dahsyat berlaku semalam,” katanya.

sumber- Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold