Guru Mati Ditembak di Kulim

Seorang guru maut dipercayai ditembak dua lelaki yang bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Keladi di sini tengah hari Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata K.Shanmugam, 45, didapati dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta Toyota Wish miliknya.

 

Kejadian berlaku kira-kira 12.25 tengah hari tadi ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam.

Beliau berkata dua lelaki tersebut dikatakan telah mengikuti kereta mangsa sebelum melepaskan tembakan.

“Salah seorang dari suspek dipercayai telah melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai kepala dan badan mangsa. Ini mengakibatkan kereta mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta di hadapan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Nashir berkata kedua-dua suspek kemudiannya memecut motosikal mereka.

Mangsa dipercayai ditembak dengan pistol automatik dan polis turut menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian.

“Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk ahli keluarga mangsa. Buat masa ini kita belum dapat kenal pasti punca sebenar kejadian,” kata Mohd Nashir.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim.

Seorang pemandu Mat Lin Saad, 62, berkata beliau sedang memandu di hadapan kereta mangsa dan apabila tiba di simpang lampu isyarat tersebut, beliau terdengar bunyi letupan seperti mercun.

“Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi kereta saya dilanggar dari belakang. Saya turun dari kereta saya untuk melihatnya dan mendapati orang ramai sudah mengerumun kereta di belakang saya. Saya turut melihat mangsa yang berlumuran darah meronta-ronta sebelum tidak lagi bergerak,” katanya.

Zulkiffli Itam, 45, pula berkata beliau yang berada di jalan yang bertentangan ternampak dua lelaki menaiki motosikal mengekori kereta mangsa.

“Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi seakan-akan mercun dan dua lelaki yang menaiki motosikal itu terus memecut motosikal mereka ke arah Taman Selasih,” katanya.

sumber – BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Guru Mati Ditembak di Kulim”

  1. Sop says:

    dah 2 kes guru ditembak.. isk iks
    Sop recently posted..Pertama kali motor naik lift ke parking

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold