Keluarga Dibenar Ikuti Latihan PLKN

Keluarga pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dibenar untuk mengikuti kelas serta kegiatan bersama pelatih dan program julung kali diadakan di Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata program Pemasyarakatan Kem PLKN itu sekali gus menolak tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap PLKN.

Katanya, seramai 40 keluarga terbabit yang meminta supaya dibenarkan mengikuti program berkenaan bersama pelatih bagi membolehkan mereka mengetahui keadaan sebenar yang dialami pelatih di kem PLKN.

“Buat masa ini hanya Kem PLKN Batu Jong melaksanakan program khusus seperti ini bagi membolehkan keluarga pelatih melihat sendiri suasana dialami anak mereka.
“Keluarga terbabit hanya mengikuti kelas serta kegiatan luar bersama anak mereka dari pagi hingga tengah hari saja.

“Sebelum ini, keluarga pelatih hanya dibenarkan berjumpa anak mereka pada hujung minggu saja, tapi tidak dibenarkan mengikuti program yang dilaksanakan.

“JLKN berharap melalui pelaksanaan program ini, ia mampu menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak mengenai PLKN yang menganggap program ini membazir,” katanya selepas merasmikan Program Pemasyarakatan Kem PLKN, di Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam.
Dalam program pemasyarakatan itu, keluarga pelatih PLKN dibenarkan bersama anak mereka dari pagi hingga tengah hari, mengikuti program dikendalikan guru kelas selain mengikuti kegiatan luar.

Sementara itu, Mohamed Abdullah, 72, menyifatkan program pemasyarakatan itu penting dalam memberi pendedahan kepada keluarga pelatih PLKN mengenai kegiatan yang dilakukan dalam kem.

“Selama ini banyak laporan mengenai PLKN dilaporkan pihak tertentu yang boleh mempengaruhi ibu bapa dalam membenarkan anak mereka mengikuti PLKN.

“Namun, melalui program pemasyarakatan ini, hakikat sebenar dapat dilihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana JLKN menjaga semua pelatih dengan baik,” katanya yang datang melihat keadaan cucunya, Nur Shahiera Sallahuddin, 18, seorang pelatih di kem berkenaan.

sumber : Berita Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold