Pantun Usik Mengusik Di Hari Perkahwinan

Sekarang musim cuti kan, ramai yang mengambil kesempatan ini untuk membuat majlis perkahwinan, pada masa beginilah kaum sanak saudara sahabat handai mudah nak datang berkunjung. Apabila saja kedua pengantin sudah selamat diijabkabulkan gembiralah hati kedua ibu bapa, sempurna sudah majlis nikah.

Tak meriah majlis perkahwinan tanpa sambutan dan adat melayu. Ada dengan paluan kompang, silat untuk pengantin, menepung tawar dan sebagainya.

Sini saya nak kongsi pantun pantun di majlis perkahwinan, mana tahu ada yang nak berpantun nanti :)

Pantun semasa pengantin tiba:

Orang ke laut menjala Udang, Petang hari pasang pelita,

Yang ditunggu sudah pun datang, Yang dinanti sudah pun tiba.

 

Tanam serai berumpun-rumpun, Disiram air setiap hari,

Lemah gemalai hayun tersusun, Maklum lah dipanggil raja sehari.

 

 

Pantun selamat datang

Buah pauh mari di kerat, Alamat petang boleh dimakan

Pada yang jauh dan juga dekat, Selamat datang kami ucapkan

 

Pijat mati disarang kerengga, Anak Murai saja berlari

Hajat hati sekelian keluarga, Hendak merai raja sehari

 

 

Pantun selamat

Tetak buluh panjang sepuluh, Mari jolok sarang penyengat,

Rafak susun jari sepuluh, Minta doa biar selamat

 

Pantun semasa tepung tawar

Orang jauh dikenang-kenang, Hanya terkenang pada yang satu,

Mula berkenalan kemudian bertunang, Akad dilaksana sama bersatu

 

Anak Cina mengail patin, Mengail patin di tepi titi

Senyum terukir pasangan pengantin, Tanda gembira penuh di hati

 

Pantun makan beradab

Puan dibawa ke Gunung Ledang, Dibawa dengan penuh beradab

Pinggan mangkuk telah terhidang, Kini masa makan beradab.

 

Semerbak bunga seroja, Dibelai dara pingitan

Lauk pauk penuh semeja, Jemput semua menikmati hidangan

 

Berdua mencari renda, Dapat satu di Inderagiri

Doa dari ayahanda bonda, Agar Masjid kekal berdiri


Pantun penutup

Tanam pisang tumbuh kelapa, Terbit bunga pucuknya mati,

Budi semua tak kami lupa, Sudah terpaku di dalam hati

 

Tuan puteri tersenyum-senyum, Melihat laksamana bermain rodat,

Senyum-senyum jangan tak senyum, Sudah sempurna segala adat

 

 

Pantun terima kasih

Memang pipit memakan padi, Telah lagi diberi beras,

Bukan sedikit tuan-tuan berbudi,  Budimu tuan sukar dibalas

 

Nasi putih nasi lemak,  Sajian makanan di waktu pagi

Terima kasih banyak-banyak,  Sudi bertandang ke majlis kami.

 

Kalau tidak kerana bulan, Tidak bintang terbit pagi,

Kalau tidak kerana tuan, Tidak majlis sepermai ini.

 

Hari ini menugal jagung, Hari esok memintal tali

Hari ini kita berkampung, Meraikan mempelai dua sejoli.

 

Anak Cina memasang lukah, Lukah dipasang di Tanjung Selasih

Pasangan pengantin segak melangkah, Mara menuju mahligai kasih

 

Tiup serunai di atas kota, Uda memupuk bunga melati

Mula kenal kemudian bercinta, Cinta tersemai di dalam hati

 

Pantun usik mengusik di majlis perkahwinan

Sudah lama langsatnya condong, Barulah kini batangnya rebah.

Sudah lama niat dikandung, baru sekarang diizinkan Allah.

 

Orang membelat di tepi pantai, Banyak dapat ikan tembakul.

Yang kami hajat sudah tercapai, Yang kami doakan sudah terkabul.

 

Asal dari Bukit Siguntang, Kisah hikayat tidak terperi

Kami mengucap selamat datang, Hadir tuan menambah seri

 

Bagai ruas dgn buku, Bagai daging dgn kuku

Hidup di air satu perahu, Di darat satu kelambu

 

Menitis peluh merentas ladang, Hati-hati menjejak kaki,

Sebaik saja sajian dihidang, Sudilah Tuan-Puan persilakan diri.

 

Beli titi kayu belian, Belian dibeli dari ulu,

Minta sudi lah hadirin sekalian, Jgn segan jgn malu

 

Artikel berkaitan sekadar perkongsian

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold