Terkini Kemalangan Bas dan Treler Di Behrang 11.11.11

Empat orang, termasuk dua orang pelajar SMK Air Merah, Kulim, terbunuh sementara 22 yang lain cedera setelah bas yang disewa terlibat dengan satu kemalangan dengan sebuah treler di KM382 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Behrang, pada kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas yang berhenti akibat terbabas di sebelah kiri laluan menuju ke selatan.
Jurucakap trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim berkata, bas yang dinaiki 44 penumpang termasuk pemandu dipercayai hilang kawalan kerana laluan berpasir sebelum terbalik. Rombongan dalam perjalanan dari Kulim ke Kuala Lumpur sebelum ke Genting Highlands. Mereka dijadual mengadakan rombongan tiga hari dua malam di ibu kota.

Beliau berkata 22 orang mangsa yang tercedera mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Slim River, sementara lima yang lain cedera parah dimasukkan ke dalam wad.

Supt Md Tahir berkata pemandu bas dan treler berkenaan ditahan untuk membantu siasatan. Guru Biologi Azria Hani, 31, menyatakan kumpulannya telah berlepas dari Kulim jam 11.30 malam semalam ke Kuala Lumpur sebelum ke Genting Highlands.

Seorang pelajar, Mohd Shah Redzuan Samsudin, yang patah tangan, pada mulanya mereka di dalam bas hanya mengalami cedera ringan semasa bas terbalik.”Tetapi apabila treler datang merempuh kami, saya melihat rakan-rakan saya tercampak keluar dari bas.”Terdapat limpahan darah sana sini dan pelajar menjerit kesakitan,” tambahnya

Mangsa yang maut ialah :

1. Siti Hajar  Binti Mohamad

2. Khairul Anuar Bin  Azhan

3. Maisarah Binti Zaidi

4. Basarah  Binti Saad

Keterangan saksi :

Menurut saksi, mereka cuba keluar dari bas terbabit sebelum treler membawa guni muatan pasir merempuh sebahagian belakang bas yang berada di atas jalan laluan lebuh raya itu.
Seorang pelajar yang berada dalam bas terbabit, Farhana Adila Ramli, berkata ketika kejadian kebanyakan rakannya sedang tidur.
“Kami tidak sedar sebahagian bas telah terbalik selepas terbabas, suasana bising. Kami keluar dari bas untuk selamatkan diri masing-masing. Pada waktu itu tiba-tiba sebuah treler langgar dari belakang bas, kawan-kawan di bahagian belakang saya tidak tahu nasib. Saya sedar apabila berada di hospital,”

Pelajar Tingkatan Tiga, Mohd Shah Redzuan Samsudin, yang patah di bahagian lengan, berkata sebilangan besar yang berada di dalam bas terbabit hanya cedera ringan apabila bas itu terbabas.

“Apabila treler merempuh bas kami, saya tengok rakan sekolah yang lain tercampak keluar dari bas,”

Petikan berita dari Bernama:

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Sharifah Maznah Syed Kassim, berkata mangsa yang maut dalam kejadian itu, Basarah Saad, adalah ahli pergerakan Wanita dan menaiki bas lain yang berhenti untuk membantu pelajar keluar dari bas yang membawa rombongan sekolah berkenaan.

“Ketika bas yang membawa rombongan Pergerakan Wanita UMNO Kedah untuk ke Tanjung Karang lalu di kawasan terbabit, pemandu ternampak dan kemudian berhenti di depan bas terbabit.

“Pemandu kami turun untuk bantu pelajar dan pesan kepada kami jangan turun tapi beberapa ahli pergerakan ingin bantu. Mereka sempat keluarkan tiga pelajar dari bas yang terbabas,” katanya.

Apabila sedang membantu, sebuah treler merempuh belakang bas terbabit dan kemudian asap keluar berkepul-kepul.

“Pemandu minta semua ahli Wanita yang turun (untuk bantu) naik semula ke dalam bas kami, kerana pemandu kata keadaan bahaya dan risau jika bas terbabit meletup. Apabila bas kami bergerak, baru tersedar Basarah tiada dalam bas, dan cubaan menghubunginya gagal. Kami kemudian berhenti dan berjalan kaki ke kawasan kejadian sebelum dimaklumkan Basarah maut,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, kedengaran pelajar terbabit menangis dan meminta tolong dalam keadaan gelap di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Basarah adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak lelaki.

Abang kepada seorang pelajar yang maut, Zuhairi Azhan, 21, berkata pada mulanya beliau tidak membenarkan adiknya Khairul Anwar menyertai rombongan itu bagaimanapun selepas dirayu beberapa kali akhirnya beliau mengizinkan.

“Saya terkilan tidak dapat menghantar adik kerana bekerja. Sebenarnya ibu saya mengalami trauma kerana sebelum ini adik perempuan saya juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Ibu kepada Farhana Adila, Rozita Idris berkata, pada 6.30 pagi tadi beliau cuba menghubungi anaknya bagaimanapun tidak dapat menembusi talian telefon bimbit anaknya itu.

“Saya kemudiaan cuba hubungi kawan kepada anak saya, dan dimaklumkan bas kemalangan dan mereka berada di Hospital Slim River. Saya sedih dan hiba apabila diberitahu ada rakan anak yang meninggal dunia dalam kejadian itu,” katanya.

Kesemua jenazah mangsa yang maut sudah dituntut waris masing-masing petang tadi di Rumah Mayat Hospital Slim River.

- BERNAMA

Gambar dari bernama:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold