Kisah Siti Nabilah, Pelajar Malaysia Diacu Pistol Semasa di Mesir

Bagi seorang pelajar tahun pertama jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, Siti Nabilah Mohd Azaman, pengalaman diacukan pistol ke kepala ketika berada di Mesir bakal menjadi sejarah yang tidak akan dilupakannya seumur hidup.

Itulah cabaran yang harus ditempuhi oleh pelajar Malaysia yang berada di sana, nyawa bagaikan telur di hujung tanduk. Kita berharap dan berdoa agar mereka yang masih di sana selamat.

Ikuti kisah lanjut Siti Nabilah:

Siti Nabilah Mohd Azaman, 20, berkata kejadian menakutkan itu berlaku ketika beliau dan empat rakan keluar ke kedai berhampiran untuk menambah nilai prabayar telefon bimbitnya bagi menghubungi keluarga di tanah air.

“Sedang berjalan kaki menuju ke kedai, kami terkejut apabila seorang warga tempatan yang tidak dikenali mengacukan pistol ke kepala kami, dan menyuruh kami pulang ke rumah.

“Tanpa melengahkan masa kami yang ketakutan terus berlari pulang,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini, Jumaat.

Ibunya, Zamilah Nawi berkata beliau yang telah dua hari tidak dapat tidur kerana bimbangkan keselamatan anak gadisnya itu bersyukur Siti Nabilah selamat pulang ke tanah air.

Muhammad Amiri Ab Ghani, 36, berkata beliau dan 150 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah terpaksa membuat demonstrasi membantah tindakan syarikat penerbangan EgyptAir yang sering membatalkan penerbangan pada saat-saat terakhir.

Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) itu berkata beliau tiba di Mesir pada 26 Jan untuk mengunjungi Pameran Buku Antarabangsa di sana bagi membeli buku-buku keperluan kolej.

“Kami terkandas di lapangan terbang selama dua hari akibat penerbangan dibatalkan tetapi selepas berdemonstrasi, barulah EgyptAir memasukkan kami secara berasingan dalam beberapa penerbangan ke Jeddah,” katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan perubatan Universiti Iskandariah, Mohd Faiz Abbas, 22, berkata beliau pada mulanya tidak menyedari rusuhan di negara itu serius pada hari pertama insiden meletus.

Katanya beliau dan rakan-rakan hanya menyedari keadaan adalah buruk apabila keluar dari rumah pada hari kedua rusuhan dan melihat beberapa trak polis dan balai polis terbakar.

“Alhamdulillah pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu dalam menjaga keselamatan kami sepanjang tempoh rusuhan,” katanya menuntut dengan pembiayaan Mara.

Ahli perniagaan, Shakeela Khanam, 42, yang turut terkandas di Mesir selama tiga hari berkata beliau bersimpati melihat rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di sana akibat pembatalan penerbangan.

“Mereka terpaksa tidur di atas lantai, kadang-kadang tidak beralas, ada yang tidak mempunyai wang lagi setelah membeli tiket, dan banyak lagi situasi di sana jadi kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengeluarkan mereka dari sana,” katanya.

Difahamkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia pelbagai golongan termasuk pelajar tiba di KLIA hari ini atas perbelanjaan sendiri melalui pelbagai penerbangan termasuk EgyptAir, Etihad Airways, Gulf Air dan Saudi Arabian Airlines.

Menurut Menteri Luar, seramai 5,700 orang masih di Kaherah, tetapi di luar ibu negara pulak ada kira-kira 4,000 orang, dan operasi pemindahan  akan bergerak ke sana untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Suasana di sekitar kawasan berkumpul di Dewan Malaysia di Kaherah adalah tenang dan keluarga pelajar terbabit tidak perlu risau.

“Rusuhan cuma berlaku di jalan-jalan utama, berdekatan Istana Presiden, pejabat kerajaan yang lokasinya jauh dengan tempat operasi pemindahan berjalan.

Kohilan berkata sejak bermulanya ‘Ops Piramid‘ semalam, kira-kira 760 rakyat Malaysia telah dibawa keluar dari Mesir.

Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan

-BERNAMA

Kisah lain

Saudara Khairul Nor al Hafiz bin Ismail selaku musyrif utama perubatan turut berkongsi cerita paling teruk. Seorang kanak-kanak lelaki sanggup menunjukkan kemaluannya di hadapan mereka. Tangisan bukan saja keluar lantaran tertekan malah mungkin menyebabkan trauma yang berpanjangan. Mereka juga dilaporkan turut menerima gangguan seksual berbentuk rabaan dan gangguan keganasan seperti dibaling batu dan dipukul.

Salah seorang mangsa, Nur Atiqah Mohd Hanifah mengucapkan rasa syukur kerana beliau secara peribadi belum lagi menerima kes-kes yang teruk; hanya dipukul dan dibaling batu. Beliau berkata “Takkan nak minta musyrif waktu siang?” Ketika ditanya tentang institusi musyrif, beliau mengucapkan penghargaan kepada unit ini di samping berharap agar usaha diteruskan untuk melindungi pelajar-pelajar perempuan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Kisah Siti Nabilah, Pelajar Malaysia Diacu Pistol Semasa di Mesir”

  1. Ya Allah.. mujurlah tiada yg buruk berlaku..
    ishh.. kompom cuak gila bila kena acu mcm tu..

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold