K Patmanaban Suspek Utama Pembunuh Sosilawati dan 3 lagi Didakwa

Akhirnya, suspek utama pembunuh Sosilawati iaiatu K Patmanaban didakwa atas tuduhan membunuh Datuk Sosilawati dan 3 lagi lelaki.
Itulah berita yang saya baca di Mstar online hari ni…
Lihat laporan berita berikut:

K Patmanaban, suspek utama pembunuh Sosilawati didakwa

Seorang peguam, N.Pathmanabhan dan tiga lagi didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini pada Rabu, atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik dan tiga lagi individu yang didakwa hilang bersama beliau.
Pathmanabhan, 41, yang merupakan suspek utama dalam kejadian itu didakwa bersama tiga pekerja ladang, iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R.Kathavarayan, 30.


Semua mereka tiba di mahkamah pada pukul 8.20 pagi dalam keadaan dikawal rapi dan dibawa masuk untuk mendengar pertuduhan pada pukul 9 pagi.

Mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan didakwa dilakukan antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan terhadap Pathmanabhan dibacakan dalam bahasa Malaysia manakala bakinya dibuat dalam bahasa Tamil.

Tiada pengakuan direkodkan pada prosiding yang berlangsung di hadapan Majistret Hurman Hussain, tetapi semua tertuduh menganggukkan kepala sebagai tanda faham akan pertuduhan terhadap mereka.
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengetuai barisan pendakwaan memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi pihaknya mengemukakan dokumen yang berkaitan.
“Pihak kami memerlukan masa kerana masih menunggu laporan kimia disiapkan,” katanya yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abd Ghani.

Hurman menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada prosiding itu, Pathmanabhan yang merupakan suspek utama kehilangan pengasas produk Novalles Visages itu diwakili peguam-peguam Ravi Nekoo, Amer Hamzah Arshad, Puspha Ratham dan Datuk Ng See Teong.
Terdahulu, Amer Hamzah turut membuat pengesahan bahawa mereka tidak mewakili Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan. Beliau juga membuat permohonan untuk berjumpa anak guamnya.
“Tertuduh telah direman lebih daripada sebulan yang lalu dan peguam hanya diberikan laluan terhad untuk berjumpa tertuduh termasuklah pada prosiding reman,” katanya.

Beliau juga membuat permohonan sama untuk tiga lagi tertuduh bagi membolehkan pihaknya memberi nasihat kepada tertuduh untuk meminta keluarga mereka melantik peguam pada perbicaraan kelak.
“Peguam tidak boleh berjumpa secara terus dan menawarkan perkhidmatan kami,” katanya memandangkan perbuatan itu adalah menyalahi etika guaman.

Hurman membenarkan permohonan itu dengan tempoh masa 10 minit untuk setiap tertuduh.
Sementara itu, Ravi Nekoo yang ditemui di luar mahkamah disoal berhubung nasib adik kepada Pathmanabhan yang turut ditahan sebagai suspek sejak 9 September lalu.

“Perkembangan terbaru, kami dimaklumkan oleh polis bahawa adik Pathmanabhan tidak akan didakwa di mahkamah dan akan dibebaskan, bagaimanapun, kami tidak diberitahu bila,” jawabnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold