Sosilawati Ditipu Orang Kepercayaan Dalam Syarikat

Sosilawati mungkin ditipu oleh orang kepercayaan dalam syarikatnya, melalui apa yang pernah disampaikan sendiri oleh Sosilawati kepada adiknya, Rosnani Lawiya.
Rosnani menceritakan kepada wartawan yang kakaknya ada mengadu dan kesal kerana ditipu oleh orang yang dipercayai dalam syarikatnya.

Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain lain, harap kan pagar, pagar makan padi, harapkan sokong membawa rebah, harapkan laba mendapat rugi. Itu lah cabaran dalam kehidupan dan dunia perniagaan yang kadang kala penuh tipu muslihat dan dengki khianat.

Petikan berita lagi….

“Aku dah kena tipu. Kau bayangkan, setiap bulan kebelakangan ini untung meniaga tak nampak…lepas bayar duit elektrik dan air, sudah tidak ada duit simpanan.

“Aku tidak suka orang tipu aku. Kalau nak duit minta, jangan curi. Jangan buat aku macam ini,” itu sebahagian daripada kata-kata jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, ketika pertemuan akhir bersama adiknya sebelum dilaporkan hilang, 30 Ogos lalu.

Menurut adiknya, Rosnani Lawiya, 45, kakaknya bersungguh-sungguh mengadu kesal kerana dia ditipu orang kepercayaan yang membantu menguruskan syarikatnya.

Rosnani berkata, masalah itu didedahkan Sosilawati dalam pertemuan terakhir mereka di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini akhir bulan lalu, selepas kenduri kesyukuran menyambut Ramadan.

“Sebelum ini, saya kerap berpesan pada kakak tidak terlalu mempercayai orang lain dan mengambil tahu hal ehwal kewangan syarikatnya bagi mengelak ditipu.

“Namun Kak Wati selalu mengatakan dia amat mempercayai orang di sekelilingnya dan pernah mengatakan tidak mungkin mereka sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi dengan menipunya.

“Bagaimanapun, pada pertemuan terakhir kami sebelum Kak Wati tiba-tiba hilang, dia mengadu kepada saya apa yang pernah saya pesan kepadanya kini benar-benar menimpanya dan dia begitu sedih dan terkejut apabila mengetahuinya,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga resah apabila kata kakaknya itu menjadi kenyataan selepas dia dilaporkan hilang bersama tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu.

“Kak Wati seorang yang ceria, penyayang apa lagi mempunyai prasangka buruk atau bukan-bukan terhadap mereka yang rapat dengannya terutama membabitkan soal kerja.

“Sebelum ini Kak Wati jarang bercerita tentang perniagaannya, malah setiap kali berjumpa dia lebih gemar bersembang mengenai hal keluarga dan bertanya khabar.

“Perkara paling penting hal ibu kami (Yatemah Abdul Rahman, 80), kehidupan kami adik-beradik selain memberikan dorongan dan tunjuk ajar kepada kami mengenai selok- belok dunia perniagaan,” katanya.

Rosnani meluahkan kerisauannya apabila Sosilawati mengadu ditipu menyebabkan dia turut sedih dengan nasib kakaknya itu.

Lebih menyedihkan, ketika menceritakan masalahnya itu Sosilawati kelihatan kesal, sedih, kecewa dan teraniaya diperlakukan sedemikian.

Selepas mengetahui perkara itu, dia sekeluarga dan suami, Misjam Jamikun, 48, mendoakan kakaknya mampu mengatasi halangan dan cabaran dihadapinya.

“Kali terakhir Kak Wati menghubungi saya menggunakan telefon bimbitnya pada 29 Ogos lalu, kira-kira jam 2.30 petang, sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

“Dalam perbualan singkat itu kami berkongsi persediaan Aidilfitri dan saya langsung tidak menduga perkara buruk bakal menimpanya kerana nada suaranya ceria,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, persediaan tahun ini agak pelik kerana kebiasaannya Sosilawati akan membelikan kuih raya untuk semua adik- beradiknya, sebaliknya tahun ini berjanji memberikan wang tunai RM500 dan meminta membeli sendiri persiapan hari raya.

“Dia juga sempat bergurau jika dia yang belikan kuih semua pasti sama dan mungkin tidak kena selera adik beradik, jadi lebih baik dia beri wang dan kami beli sendiri.

“Hanya ibu akan mendapat kuih raya dibelikan, dia berjanji memberikan duit raya pada kami seperti tahun sebelumnya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri kelak,”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Sosilawati Ditipu Orang Kepercayaan Dalam Syarikat”

  1. udanggalah says:

    Salam..Dunia perniagaan penuh cabaran.Kemana agaknya hilang Sosilawati..

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold