Kontraktor Shafik Abdullah Hilang Ada Kaitan Dengan K Patmanaban

Kes hilang kontraktor bernama Shafik Abdullah dan rakannya kira-kira 5 bulan lalu dilaporkan semalam ada kaitan dengan suspek pembunuh Datuk Sosilawati.

Isteri Shafik, Samson Nahar Mohd Dali berkata, dia dimaklumkan polis, 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa penjenayah kejam itu dan kini hanya menunggu pengesahan.

Shafik Abdullah

Modus operandi kehilangan dua sahabat itu hampir sama dengan kes membabitkan jutawan kosmetik berkenaan sebelum dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38 di sebuah ladang persendirian milik suspek di Morib, Banting.

Kedua-dua mangsa memberitahu keluarga masing-masing hendak ke ibu negara bertemu seseorang (peguam), dipercayai suspek utama kes Sosilawati atas urusan perniagaan sebelum hilang.

Malah, telefon bimbit juga gagal dihubungi, menyebabkan keluarga masing-masing diselubungi kebimbangan, lebih-lebih lagi selepas kes Sosilawati terbongkar.

Polis menemui kereta jenis Honda Stream milik Shafik di sebuah kondominium di ibu negara Mei lalu selepas keluarga mereka membuat laporan polis.

Polis ketika itu menyiasatnya sebagai kes orang hilang sehinggalah pembunuhan kejam Sosilawati terbongkar kerana kedua-dua mangsa dipercayai menemui peguam yang sama, katanya.

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit bukan saja sahabat baik, malah dipercayai rakan kongsi dalam perniagaan batu permata.

Selain Shafik dan rakannya itu, kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India sejurus tiba di Malaysia untuk meninjau peluang perniagaan, 18 Januari lalu selepas diyakini oleh suspek dan adik lelakinya, juga seorang peguam untuk berbuat demikian.

Allal yang mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Isterinya, S Usharani, 24, dipetik berkata, kali terakhir suaminya menelefonnya pada 18 Januari sebaik tiba di KLIA dan memaklumkan sudah dijemput oleh kedua-dua beradik berkenaan, seterusnya dibawa ke Banting sebelum hilang serta gagal dikesan hingga ke hari ini.

Nasib semua individu terbabit masih belum dapat dipastikan, malah usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat diperoleh daripada kedua-dua suspek utama itu, selain enam lagi pekerja ladang persendirian milik mereka yang turut ditahan bagi membantu siasatan.

Update lagi:
Polis jumpa jam tangan berjenama milik Shafik Abdullah

Seutas jam tangan yang disahkan milik seorang kontraktor yang dilapor hilang April lalu, Mohd Shafiq Abdullah, 37, menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, berkata dia dipanggil oleh polis untuk mengenalpasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting minggu lepas bagi membantu siasatan. “Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang, saya cam jam itu sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma,”
selepas menyedari ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap Mohd Shafiq, beliau menghubungi semua rakan-rakan serta pihak-pihak yang pernah berurusan dengan suaminya termasuk suspek.

“Semua orang jawab tak tahu, tapi dia (suspek) seorang saja yang bagi jawapan ada jumpa suami dan beritahu suami saya ke luar negara dan akan balik lima enam hari lagi.

“Tapi bila saya tanya pergi mana, dia kata rahsia dan dari situ saya rasa pelik dan terus pergi ke rumah sewa suami di Kuchai Lama untuk mencari pasport suami saya,” katanya.

Samson Nahar berkata, beliau menemui pasport suaminya di rumah sewa itu dan ketika itu beliau menyedari bahawa kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek.

Kali terakhir Samson Nahar berhubung dengan suaminya melalui telefon ialah pada 7 April lalu dan gagal menghubunginya sehari selepas itu.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor.

“Polis juga ada meminta barang-barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu sahaja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu,”

Samson Nahar berkata, Mohd Shafiq seorang yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah lupa untuk memaklumkan destinasinya sekiranya mahu ke mana-mana.

Beliau berkata, walaupun ingin ke sesuatu tempat dalam tempoh yang singkat, suaminya akan tetap memberitahu dan pulang bertemu dengan keluarganya terlebih dulu.

“Dia memang selalu ke luar daerah dan ada juga pergi ke luar negara, tapi setiap kali sebelum pergi mana-mana dia mesti balik sini dulu sehari atau dua hari untuk bersama saya dan anak-anak,” katanya.

Samson Nahar berkata, selepas dimaklumkan 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa jenayah kejam itu pada malam Hari Raya lepas, keluarganya mengadakan solat ghaib serta majlis tahlil untuk suaminya.
Sumber : Berita Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold