Hubungan Nash dan Kamaruddin Pemandu Sosilawati Rapat


Penyanyi Nash menganggap pemandu peribadi bekas isterinya, Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Kamaruddin Shamsudin, 44, seperti adik kandung sendiri. Kamaruudin diperkenalkan oleh Nash kepada Sosilawati dan menjadi pemandu kepada Sosilawati.

Nash atau nama sebenarnya Nasharudin Elias berkata, dia dan Kamaruddin, 44, mula rapat sejak 25 tahun lalu selepas sering bekerjasama dalam bidang muzik.

 
Kamaruddin (pemandu Sosilawati)

Kamaruddin banyak membantunya melakukan kerja-kerja muzik, terutama sistem bunyi, sama ada di dalam studio mahupun konsert ketika dia masih bersama kumpulan Lefthanded suatu ketika dulu.

“Hubungan kami terlalu rapat dan keluarganya juga sudah seperti keluarga saya sendiri,” katanya selepas melawat keluarga Kamaruddin di Indera Mahkota 2 di sini, hari ini.
Nash juga rapat dengan anak-anak Kamaruddin yang dianggap seperti anak sendiri.

Sementara itu, bekas penyanyi Kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail pula menyifatkan Kamaruddin seorang yang suka bergurau dan disenangi rakan-rakannya.

Katanya, Kamaruddin sentiasa membantu persembahan kumpulan itu terutama dalam penyusunan sistem muzik, sekiranya terbabit dalam sebarang konsert di dalam dan luar negara.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan dia pada tahun lalu dan tidak menyangka itulah pertemuan terakhir kami berdua,” katanya.

Sementara itu, kakak Kamarudin Ramlah Shamsudin, 49, berkata adiknya itu pernah menyuarakan hasrat untuk melihat anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, menjadi seorang ustaz suatu hari nanti.

Ramlah berkata, ketika menyerahkan Irfan kepada beliau untuk dijaga sewaktu berusia dua hari, Kamarudin berpesan supaya anaknya itu diberikan pendidikan agama yang cukup.

“Saya akan pegang amanah adik saya sehingga Irfan benar-benar dididik dengan pendidikan agama yang secukupnya, malah pada tahun depan, saya bercadang untuk mendaftarkan Irfan di sebuah sekolah agama dekat sini,” katanya.

Ramlah juga berkata, sebelum kejadian malang menimpa adiknya itu, Kamarudin ada pulang ke Kuantan pada 27 Ogos untuk menemui Irfan dan membawa anaknya membeli baju raya. – Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress | Designed by: backlinks | Thanks to personal loans, payday loans and world of warcraft gold